
Perjalanan ini bermula pada 8 Ogos 2019 apabila Tabung Endowmen UiTM melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan Pembangunan (JKP) ke-194 bertarikh 26/02/2015 secara rasmi dilancarkan sebagai satu inisiatif strategik universiti untuk menggalakkan penyertaan warga UiTM, alumni, industri dan masyarakat dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi negara. Pelancaran ini menjadi titik tolak kepada usaha memperkasa sumber kewangan alternatif yang mampan bagi menyokong kecemerlangan universiti.


Pada 11 September 2019, Unit Endowmen diwujudkan dan ditempatkan di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni - ICAN). Penempatan ini selaras dengan peranannya dalam membina jaringan kerjasama strategik dan menggalakkan budaya memberi dalam kalangan komuniti UiTM serta pihak berkepentingan dan diterajui oleh Profesor Madya Dr Aruan Efendy Mohd Ghazali.
Seiring dengan perkembangan fungsi dan tanggungjawabnya, pada 24 Jun 2020, Unit Endowmen dipindahkan ke bawah Pejabat Naib Canselor. Langkah ini mencerminkan kepentingan strategik pengurusan endowmen dalam agenda pembangunan universiti serta komitmen kepimpinan tertinggi UiTM untuk memperkukuhkan tadbir urus dan pengurusan dana endowmen.

Tanggal 28 Disember 2020 menjadi detik bersejarah apabila julung kalinya biasiswa berjumlah RM 1 juta ditawarkan kepada 52 pelajar cemerlang yang terpilih melalui Tabung Dana Endowmen UiTM. Majlis pengganugerahan biasiswa endowmen UiTM ini di rasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad,Menteri Pengajian Tinggi di Hotel UiTM, Shah Alam, Selangor.
Seterusnya, pada 29 Januari 2021, Unit Endowmen telah dinaik taraf dan diwujudkan sebagai Pusat Tanggungjawab (PTj). Pengiktirafan ini memberikan autonomi yang lebih jelas dalam aspek pentadbiran, perancangan strategik dan pelaksanaan inisiatif berkaitan endowmen, sekaligus memperkukuhkan keupayaannya untuk mengurus dana secara lebih berkesan dan profesional.
Fasa baharu perkembangan organisasi ini diteruskan pada 1 Ogos 2024 apabila Unit Endowmen diletakkan di bawah Jabatan Bendahari. Penyusunan semula ini bertujuan memperkukuhkan aspek tadbir urus kewangan, ketelusan dan pengurusan dana yang lebih sistematik selaras dengan amalan terbaik institusi pendidikan tinggi.
Kemuncak kepada transformasi ini tercatat pada 1 September 2024 dengan pelantikan Pengarah Kewangan Unit Endowmen, yang menandakan era baharu dalam pengukuhan struktur kepimpinan dan pengurusan dana endowmen UiTM. Pelantikan tersebut menjadi simbol komitmen universiti dalam memastikan pengurusan dana yang mampan, berintegriti dan berimpak tinggi.
Hari ini, Unit Endowmen UiTM terus berkembang sebagai pemacu utama kelestarian kewangan universiti, menyokong aspirasi UiTM untuk melahirkan graduan berkualiti, memperkasakan penyelidikan dan inovasi serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Perjalanan yang bermula dengan sebuah tabung endowmen kini menjadi satu ekosistem yang memperkukuhkan masa depan universiti melalui semangat kebersamaan, kepercayaan dan sumbangan yang berterusan.
Barisan Peneraju Unit Endowmen UiTM dari awal hingga terkini :

Sumber : Laman Web Unit Endowmen UiTM