Pusat Penyelidikan Melanau (PMM), UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Mukah dengan kerjasama Persatuan Melanau Mukah (PMM) telah menganjurkan Seminar Negeri Tua Melanau Siri 1 pada 28 Mac 2022 bertempat di Kingwood Hotel Mukah. Seminar ini merupakan siri pertama daripada inisiatif untuk meneroka dan mendokumentasikan sejarah serta warisan masyarakat Melanau. Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada pemimpin tempatan, termasuk ketua-ketua kampung dan penghulu, serta tokoh yang terlibat dalam usaha pemeliharaan warisan Melanau di kawasan Mukah telah menyertai seminar tersebut.
Seminar ini telah dirasmikan oleh YB Abdul Yakub bin Haji Arbi, ADUN N58 Balingian merangkap Pengerusi Persatuan Melanau Mukah (PMM). Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan sokongan terhadap usaha Pusat Penyelidikan Melanau, UiTM Kampus Mukah dan Persatuan Melanau Mukah untuk meneruskan siri jelajah Seminar Negeri Tua Melanau ke kawasan lain, termasuk Oya, Dalat, Igan, Balingian, Belawai, Tanjung Manis dan Daro.
Beliau turut berharap agar penganjuran seminar ini dapat membantu membongkar khazanah sejarah masyarakat Melanau, termasuk penemuan artifak, salasilah, manuskrip dan pelbagai bahan bersejarah yang bernilai. Usaha tersebut diharapkan dapat memperkaya pemahaman tentang sejarah dan kegemilangan masyarakat Melanau pada masa lampau, sekali gus membentuk naratif sejarah yang lebih menyeluruh untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Program ini turut dihadiri oleh Profesor Madya Dr. Saimi Bujang, Penolong Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Mukah, yang menyampaikan ucapan alu-aluan serta pembentangan berkaitan Negeri Tua Melanau. Antara tetamu kehormat lain yang turut hadir ialah Encik Shafrie bin Saili, Pemangku Residen Bahagian Mukah; Encik Peleadzman Anak Ahip, Pemangku Pegawai Daerah Mukah; Tuan Haji Kadir bin Haji Jamil, Walikota Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM); Tuan Haji Mohd. Jali bin Kawi, Pemanca Daerah Mukah; serta Encik Pengiran Saifudzin bin Pengiran Mahtar, Pegawai Eksekutif Kanan UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Mukah merangkap Timbalan Ketua Pusat Penyelidikan Melanau, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Mukah.
Selain sesi pembentangan oleh Profesor Madya Dr. Saimi Bujang, seminar ini turut merangkumi sesi dialog dan perkongsian pandangan bersama para peserta yang terdiri daripada pemimpin tempatan serta pengkaji sejarah Melanau. Antara individu yang mengambil bahagian dalam sesi tersebut ialah Encik Tommy Black Mark Lang, pemilik Muzium Mini Sapan Puloh, bersama beberapa pemimpin tempatan yang lain. Perbincangan ini memberi ruang kepada para peserta untuk berkongsi pengetahuan, pandangan dan maklumat berkaitan sejarah masyarakat Melanau, termasuk aspek yang berpotensi untuk dikaji dan didokumentasikan dengan lebih mendalam.
Seminar ini berakhir dengan persetujuan untuk mengadakan perbincangan susulan yang lebih mendalam antara Pusat Penyelidikan Melanau, UiTM Kampus Mukah dengan pemimpin tempatan serta pengkaji sejarah Melanau. Perbincangan tersebut bertujuan meneliti artifak dan bukti sejarah lain yang berpotensi membantu merungkai sejarah Negeri Tua Melanau dengan lebih terperinci. Inisiatif ini diharapkan dapat memperkukuh usaha penyelidikan, pendokumentasian dan pemeliharaan warisan sejarah masyarakat Melanau untuk manfaat generasi kini dan akan datang.