Pusat Penyelidikan Melanau (PMM), UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Mukah dengan kerjasama Persatuan Melanau Mukah (PMM) telah menganjurkan Seminar Negeri Tua Melanau Siri 2/2022 bertempat di Dewan Telian, UiTM Kampus Mukah. Seminar ini telah dirasmikan oleh YB Abdul Yakub bin Haji Arbi, ADUN N58 Balingian merangkap Pengerusi Persatuan Melanau Mukah (PMM).
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan harapan agar kerjasama antara Pusat Penyelidikan Melanau, Persatuan Melanau Mukah (PMM) dan Persatuan Generasi Melanau Balingian (PGMB) dapat terus diperkukuh bagi mempergiat aktiviti sosial dan kebudayaan serta meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap identiti dan warisan Melanau. Usaha ini penting dalam memperkasa komuniti Melanau serta mengukuhkan kedudukannya dalam masyarakat Sarawak.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha berterusan untuk memelihara identiti masyarakat Melanau merupakan keutamaan bagi memastikan warisan sejarah, adat dan budaya masyarakat tersebut terus terpelihara. Sehubungan itu, beliau berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluas melalui penglibatan persatuan Melanau di sekitar Mukah, penggiat seni dan budaya, penggiat warisan serta institusi pendidikan.
Menurut beliau, penglibatan pelbagai pihak dalam usaha pemeliharaan warisan ini amat penting bagi memastikan sejarah dan budaya masyarakat Melanau terus didokumentasikan, dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang. Inisiatif sedemikian bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan warisan budaya, malah turut memperkukuh jati diri masyarakat Melanau.
Beliau turut menekankan bahawa usaha seumpama ini dapat memperkukuh peranan universiti bukan sahaja sebagai pusat kecemerlangan ilmu pengetahuan, tetapi juga sebagai platform yang menghubungkan institusi akademik dengan masyarakat setempat. Melalui kerjasama yang berterusan, universiti dan komuniti dapat berganding bahu dalam melaksanakan penyelidikan, memelihara warisan serta menghasilkan manfaat bersama demi kepentingan masyarakat dan generasi akan datang.