DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke Majlis Titah Diraja Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang berlangsung di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam pada 28 Ogos 2026.
Baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang juga Pro-Canselor UiTM.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UiTM, Prof. Dato’ Shahrin Sahib @ Sahibuddin serta barisan Pengurusan Universiti.
Kali terakhir Majlis Titah Diraja UiTM diadakan adalah pada tahun 2016 oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Pada majlis kali ini, DYMM Sultan Selangor berkenan menyampaikan titah selama lebih 45 minit. Baginda berkenan menyentuh isu-isu yang melingkari beberapa aspek membabitkan matlamat penubuhan dan peranan UiTM sehingga kini.
Berikut antara petikan titah ucapan Baginda :-
1. Beta ingin memberikan pencerahan
supaya kedudukan UiTM difahami dengan jelas dan tidak terus dipolemikkan. UiTM bukanlah institusi yang wujud tanpa asas perundangan. Akta 173 melalui Seksyen 1A memperuntukkan bahawa UİTM ditubuhkan selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, yang meletakkan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera di samping kepentingan sah kaum lain. Perkara 153(8A) juga membenarkan perizaban (reservation) tempat dalam institusi pengajian tinggi bagi Melayu dan Bumiputera. Oleh itu, peranan UiTM dalam memperkasa pendidikan Melayu dan Bumiputera mempunyai asas perlembagaan yang jelas, bukan sekadar dasar pentadbiran biasa.
2. Cadangan yang mengubah asas, identiti atau matlamat UiTM tidak boleh dianggap sebagai keputusan pentadbiran biasa, tetapi perlu diteliti dalam kerangka. Perlembagaan secara menyeluruh. Pada masa yang sama mempertahankan UiTM tidak bermaksud menafikan hak pendidikan kaum lain. Malaysia mempunyai pelbagai institusi pengajian tinggi untuk semua rakyat. UiTM pula lahir daripada keperluan sejarah untuk merapatkan jurang pendidikan dan sosioekonomi Melayu dan Bumiputera. Selagi jurang ini masih wujud, maka amanah penubuhannya belum selesai.
3. Seorang pemimpin yang baik bukan hanya menyelesaikan masalah pada zamannya, tetapi meninggalkan asas yang membolehkan generasi selepasnya pergi lebih jauh. Justeru, Beta berharap nama dan jasa Allahyarham Tun Arshad Ayub tidak hanya dikenang melalui bangunan, nama kompleks atau sejarah yang dicatatkan dalam buku, sebaliknya, legasi beliau hendaklah diteruskan melalui budaya kerja yang berdisiplin, keberanian membuat perubahan, keutamaan terhadap kualiti pendidikan dan keyakinan bahawa anak bangsa mampu bersaing di peringkat tertinggi.
4. Beta berasa amat bangga melihat pencapaian cemerlang UiTM yang kini berdiri megah serta membanggakan bangsa dan negara. Institusi keramat ini telah membuktikan keupayaannya memberikan khidmat bakti apabila para lulusannya kini tidak lagi sekadar menjadi penonton sejarah, sebaliknya menjadi penggerak utama, tokoh korporat, dan pemimpin ternama di peringkat nasional mahupun persada global. Keupayaan UiTM dalam melahirkan golongan profesional bumiputera bukan lagi satu retorik, tetapi satu realiti yang dibuktikan dengan angka yang jelas.
5. UiTM bukan sekadar sebuah universiti. UiTM lahir daripada suatu perjuangan yang jauh lebih besar, iaitu perjuangan untuk memastikan anak-anak Melayu dan Bumiputera, tanpa mengira latar belakang keluarga serta kedudukan ekonomi mereka, diberikan peluang mendapatkan pendidikan tinggi yang sempurna dan berkualiti.
6. Beta ingin mencadangkan agar satu sistem dibangunkan supaya setiap alumni boleh menyumbang sekurang-kurangnya RM10 ringgit sebulan atau RM100 ringgit setahun kepada UiTM sebagai tanda terima kasih dan penghargaan ke atas segala jasa bakti institusi ini sepanjang tempoh mereka menimba ilmu. Beta percaya nilai RM10 ringgit itu tidaklah membebankan dan mampu disumbangkan oleh setiap alumni. Anggaplah ia sebagai satu pengorbanan terhadap kelangsungan UiTM.
7. Beta mahu UiTM terus menjadi pintu mobiliti sosial kepada anak-anak Melayu dan Bumiputera daripada keluarga berpendapatan rendah serta mereka yang datang dari luar bandar. Beta tidak mahu apabila UiTM semakin besar dan maju, golongan sasaran yang menjadi sebab asal institusi ini diwujudkan dibiarkan tercicir atau menjadi semakin jauh daripada peluang pendidikan tinggi.
8. UiTM haruslah memperkukuhkan budaya kecemerlangan, integriti, disiplin dan merit dalam kalangan warga universiti. Jangan sesekali kita menggunakan agenda Bumiputera sebagai alasan untuk menerima sesuatu yang sederhana atau kurang berkualiti.
9. Kita tidak boleh selama-lamanya meminta dunia memberikan ruang kepada kita. Generasi Melayu dan Bumiputera akan datang mesti dipersiapkan sehingga mereka mempunyai ilmu, kepakaran, keyakinan dan daya saing yang membolehkan mereka merebut ruang itu dengan kemampuan mereka sendiri. UiTM mesti terus melahirkan suatu bangsa yang terpelajar. Bangsa yang mengenal akar sejarahnya, tetapi pada masa sama mempunyaikeberanian dan keupayaan untuk berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa terbaik di dunia.
10. Beta mahu UiTM melahirkan lebih ramai pencipta pekerjaan dan pemilik ekonomi, bukan sekadar pencari pekerjaan. Jika dahulu UiTM memainkan peranan besar melahirkan kelas profesional Bumiputera, maka pada masa hadapan UiTM mesti membantu melahirkan lebih ramai usahawan, inovator, saintis, pemimpin industri dan pemilik perusahaan yang mampu bersaing pada peringkat serantau dan antarabangsa.
11. Beta ingin mencabar setiap pelajar dan graduan UiTM untuk sekurang-kurangnya menguasai dua bahasa asing. Ini kerana persaingan graduan dalam pasaran pekerjaan kini amatlah sengit, dan dengan menguasai lebih banyak bahasa ia mampu membezakan kualiti yang menjadi ukuran utama kejayaan UiTM, bukan kuantiti graduan semata-mata.
12. Beta ingin menasihatkan kepada para graduan dan alumni UiTM agar terus menjaga nama baik UiTM, pensyarah dan ibu bapa masing-masing, dengan meneruskan sumbangan dalam apa jua bentuk. Paling penting, para graduan tidak memburuk-burukkan pentadbiran dan kualiti pendidikan di UiTM. Nasihat Beta, peliharalah kredibiliti serta maruah universiti dengan tidak terlibat dalam gejala-gejala terkutuk seperti rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
13. Beta dapat lihat peranan UiTM semakin berkembang. Daripada perjuangan mendapatkan akses kepada pendidikan, kepada perjuangan mencapai kecemerlangan dalam pendidikan. Daripada melahirkan graduan, kepada melahirkan pemimpin dan peneraju industri. Dan daripada memperkukuhkan kedudukan Melayu dan Bumiputera dalam negara, kepada membolehkan Melayu dan Bumiputera bersaing dengan yakin di pentas dunia.
14. Beta tidak mahu generasi akan datang hanya mengenang UITM kerana sejarahnya. Beta mahu mereka menghormati UiTM kerana kecemerlangannya.
15. Sekarang tanggungjawab UITM adalah memastikan perjuangan itu terus relevan, bermaruah dan berjaya untuk generasi yang akan datang. Jangan kita sia-siakan amanah ini. Dan jangan sekali-kali kita lupa mengapa UiTM diwujudkan.
16. Beta ingin mengingatkan seluruh warga UiTM untuk maju dan membangun bersama acuan tersendiri dalam memacu kelompok bumiputera profesional beradab yang utuh dengan "DNA-UiTM." Acuan ini berasaskan pemikiran yang rasional, perasaan yang positif, semangat yang padu, aspirasi yang ke hadapan, serta tingkah laku yang mulia.
17. Beta ingin berpesan agar kita sentiasa ke hadapan di samping meneguhkan nilai akal budi, sifat amanah dan adab yang tinggi. Beta percaya jika segala hasrat dan harapan ini dilaksanakan, UiTM akan terus kekal menjadi benteng pendidikan Melayu dan Bumiputera yang cemerlang dan berwawasan.
18. Beta ingin berpesan dan menasihati orang Melayu agar kembali menghayati semangat muafakat dan bersatu padu.
19. Jika orang Melayu bersatu hati, berpadu tenaga dan teguh mempertahankan kepentingan bersama, tidak mudah bagi mana-mana pihak untuk menggugat hak dan kedudukan orang Melayu di tanah air sendiri seperti yang telah terjamin serta termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Jagalah tanah air kita !
Daulat Tuanku !