Menyingkap kembali lembaran sebuah penerbitan yang pernah menjadi panduan setiap mahasiswa dalam menempuh kehidupan kampus di Syah Alam.
Di sebalik helaian-helaian ini merekodkan catatan awal kampus ITM – Bangunan Menara, Perpustakaan Pusat, Dewan Besar, Asrama I, Asrama II, Asrama III dan Asrama IV, serta bangunan Kajian Kejuruteraan, Kajian Hotel & Catering, Kajian Seni Gunaan dan Kajian Sains Gunaan yang menjadi mercu perkembangan ilmu pada era tersebut. Antara ejaan lama yang digunakan adalah Syah Alam, Institiut, Teknoloji dan yunit.
Penerbitan ini bukan sekadar sebuah kalendar akademik, malah menghimpunkan pelbagai panduan penting kepada warga Institiut Teknoloji MARA. Antaranya ialah keterangan am mengenai kuliah, pentadbiran, kursus-kursus yang ditawarkan, sukatan pelajaran (syllabus), peraturan peperiksaan, bayaran peperiksaan, senarai jawatankuasa, persatuan dan kesatuan dalaman, peraturan di asrama serta tatatertib pelajar yang menjadi asas pembentukan sahsiah warga ITM.
Inilah rakaman sebuah zaman yang mengembalikan memori ketika nama Institiut Teknoloji MARA terpahat megah, bagi melahirkan generasi Bumiputera berilmu, berdisiplin dan berwibawa. Setiap halaman bukan sekadar catatan pentadbiran, tetapi saksi perjalanan sebuah institusi yang akhirnya berkembang menjadi Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini.