UiTM Universiti pertama diberikan pewartaan Entiti Yang Diberi Kuasa (EYDK) Akta Hak Cipta 1987
Senarai rekod

Rekod Arkib

UiTM Universiti pertama diberikan pewartaan Entiti Yang Diberi Kuasa (EYDK) Akta Hak Cipta 1987

Universiti Teknologi MARA melakar satu lagi pencapaian bermakna apabila diwartakan sebagai “Entiti Yang Diberi Kuasa” di bawah Akta Hak Cipta 1987 melalui P.U. (A) 249/2026 – Perintah Hak Cipta (Entiti Yang Diberi Kuasa) (Pindaan) 2026, berkuat kuasa mulai 3 Julai 2026 bersamaan 17 Muharam 1448H.

Pewartaan ini bukan sekadar pengiktirafan undang-undang, malah menjadi satu langkah besar UiTM dalam memperkukuh akses ilmu yang lebih inklusif, khususnya kepada Orang Kurang Upaya. Ia membuka ruang kepada universiti untuk terus memperluas penyediaan bahan bacaan dan rujukan dalam format yang lebih mudah diakses, demi memastikan tiada warga yang terpinggir daripada arus pendidikan.

Jabatan Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM telah mengusahakan inisiatif pewartaan ini pada tahun 2023. Ini selari dengan komitmen Universiti memperkasa perkhidmatan mesra OKU, termasuk inisiatif pendigitalan bahan, penyediaan kemudahan akses khas serta pembangunan ekosistem ilmu yang lebih inklusif dan berimpak.

Inilah semangat UiTM, universiti yang bukan hanya memacu kecemerlangan akademik, tetapi turut mengangkat nilai ihsan, kesaksamaan dan keterangkuman dalam penyampaian ilmu.