Kerjasama Pendidikan ITM - Universiti Ohio
Senarai rekod

Rekod Arkib

Kerjasama Pendidikan ITM - Universiti Ohio

Jalinan kerjasama antara Institut Teknologi MARA dan Ohio University bermula seawal 1965 melalui pertemuan di Nigeria antara Almarhum Tuanku Jaafar ibni Tuanku Abdul Rahman dan wakil universiti tersebut, yang kemudiannya membawa kepada perjanjian rasmi pada 1968 bersama Asia Foundation. Kerjasama ini melibatkan pertukaran pensyarah, latihan akademik serta pembangunan kurikulum, termasuk penghantaran tenaga pengajar ITM ke Ohio dan kehadiran profesor dari Ohio ke ITM. Hasilnya, pelbagai inisiatif penting diperkenalkan seperti penubuhan Kajian Sebaran Am pada 1972 serta program berkembar seperti Bachelor in Business Administration (BBA) dan Masters in Economic Education (M.Ec.Ed.). Konvokesyen bersama pertama diadakan pada 1977, diikuti pada 1978, menandakan kejayaan kolaborasi ini dalam memperkukuh kedudukan ITM di peringkat antarabangsa serta menjadi antara inovasi penting dalam sejarah pendidikan tinggi Malaysia.

Jalinan kerjasama pendidikan antara Malaysia secara amnya dengan Universiti Ohio bermula seawal tahun 1965 di Benua Afrika iaitu di Lagos, Nigeria. Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada ketika itu bertugas di Nigeria sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia telah bertemu dengan Dr. Russell A. Miliken, seorang Pegawai dari Universiti Ohio. Dalam pertemuan ini, cadangan telah  dikemukakan untuk Universiti Ohio membuat perhubungan dengan ITM dalam bidang akademik  selaras dan dikaji oleh Encik Khir Johari yang pada ketika itu menjadi Menteri Pelajaran.

Lawatan ke ITM telah dibuat oleh pegawai dari Universiti Ohio termasuk Dr. J. Norman Parmer iaitu Ketua Centre  for International Studies, Universiti Ohio. Akhirnya pada awal tahun 1968 satu perjanjian telah ditandatangani di antara ITM dengan Universiti Ohio dan Asia Foundation, satu badan yang kemudiannya menjadi penyokong ITM dalam rancangan latihan tenaga pengajar.

Langkah pertama yang diambil dibawah perjanjian ini ialah dengan menghantar pensyarah-pensyarah ITM ke Universiti Ohio untuk dilatih dalam bidang-bidang tertentu dan pensyarah dari Universiti Ohio juga dihantar ke ITM untuk memberi kuliah serta nasihat mengenai kurikulum, pentadbiran akademik dan sebagainya. Rombongan pertama dari ITM seramai 8 orang telah mengunjungi Universiti Ohio dalam bulan September 1968 dan pada 1969 – 1972 beberapa professor dari Universiti Ohio pula bertugas di ITM. Dalam masa 5 tahun di antara 1967 – 1972 seramai 11 orang pensyarah dan pentadbir ITM telah menerima latihan di Universiti Ohio dan bilangan pelajar ITM yang meneruskan pengajian di Universiti tersebut juga terus meningkat.

Dengan bantuan tenaga dari Universiti Ohio dan juga ilham dari universiti-universiti dari Amerika Syarikat, ITM telah dapat merancang dan menubuhkan Kajian Sebaran Am pada tahun 1972 yang merupakan satu langkah baharu dalam hubungan antara kedua-dua institusi ini dan Sebaran Am di ITM merupakan usaha yang pertama diadakan di Malaysia. Pada tahun 1975, ITM dan Universiti Ohio melancarkan lagi usahasama dalam pendidikan tinggi iaitu Bachelor in Business Administration (BBA) & Masters in Economic Education (M.Ec.Ed.) dan pada 12 Ogos 1977 konvokesyen Ohio/ITM yang pertama dijalankan untuk pelajar BBA seramai 24 orang dan pada 21 Januari 1978 konvokesyen Ohio/ITM yang kedua untuk pelajar M.Ec.Ed seramai 10 orang. Semua usahasama yang dijalinkan ini merupakan satu hasil inovasi pengajian tinggi yang dapat dibanggakan dalam sejarah perhubungan antara ITM dengan Universiti Ohio dan meletakkan lagi ITM diperingkat global di antara institusi-institusi pendidikan tinggi yang lain di Malaysia pada ketika itu.


Sumber :

  1. Konvokesyen Ohio Universiti / ITM yang Pertama (Buku).

"Educational collaboration between Malaysia and Ohio University began as early as 1965 in Lagos, Nigeria, through a meeting between Almarhum Tuanku Jaafar and Dr. Russell A. Miliken, which led to a proposal—supported by then Education Minister Khir Johari—to establish academic ties with ITM. This resulted in a formal agreement in 1968 involving ITM, Ohio University, and the Asia Foundation, focusing on academic development and staff training. Under this partnership, ITM lecturers were sent to Ohio University for training, while American academics contributed to teaching, curriculum development, and administration at ITM. Between 1967 and 1972, multiple staff exchanges took place, strengthening institutional capacity. The collaboration also led to the introduction of General Studies in 1972—the first of its kind in Malaysia—and later expanded to joint programs such as the Bachelor in Business Administration and Masters in Economic Education. The partnership culminated in joint convocations in 1977 and 1978, marking a significant milestone that elevated ITM’s global academic standing and showcased a pioneering model of international higher education cooperation."