Pada pagi Khamis, telah berlangsung Sidang Kemuncak Pendidikan dan Pembelajaran Malaysia ke-9 yang bertemakan “Talent as Economic Infrastructure for Malaysia’s AI and Digital Economy.” Persidangan berprestij ini menghimpunkan tokoh akademik, pemimpin industri serta penggubal dasar bagi membincangkan peranan bakat sebagai pemangkin utama dalam memperkukuh ekonomi digital dan kecerdasan buatan negara. Ucap tama telah disampaikan oleh YABhg. Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi, Canselor Multimedia University (MMU) dan MAHSA University serta Ketua Hakim Negara Malaysia ke-12.
Dalam ucapannya, beliau menekankan keperluan untuk melahirkan pelajar yang berani mencuba perkara baharu, mencabar idea dan pandangan sedia ada, serta berupaya menghasilkan pemikiran yang inovatif dan berdaya saing. Beliau turut menggariskan bahawa pembangunan modal insan yang berkualiti perlu disokong oleh keupayaan berfikir secara kritis dan kreatif, selaras dengan ungkapan “it’s all in the mind.” Seiring dengan itu, TS Idris Jusoh, Pro-Canselor UiTM, turut sering menegaskan bahawa “You are what you think you are,” sebagai peringatan bahawa kekuatan pemikiran dan keyakinan diri memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri, mencorakkan hala tuju kehidupan serta menentukan kejayaan individu pada masa hadapan.