Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited untuk memperkukuh ekosistem penyelidikan negara yang inklusif, telus dan berimpak tinggi selaras dengan agenda pendigitalan pendidikan tinggi serta aspirasi Malaysia sebagai hab kecemerlangan ilmu di peringkat serantau dan antarabangsa. Komitmen ini dizahirkan melalui penggubalan Dasar Akses Terbuka Tesis dan Disertasi Institusi Pengajian Tinggi Malaysia sebagai dokumen rujukan rasmi kepada semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Dasar ini berperanan memandu IPT dalam aspek pengurusan, pelaksanaan dan pemantauan akses terbuka tesis dan disertasi secara sistematik dan beretika. Antara fokus utama dasar ini termasuk prinsip dan kerangka Akses Terbuka (Open Access) yang berlandaskan prinsip FAIR, skop dan klasifikasi tahap akses, perlindungan harta intelek, serta peranan dan tanggungjawab pelbagai pihak termasuk KPT, IPT, pelajar, fakulti dan perpustakaan. Turut ditekankan ialah strategi pelaksanaan dasar serta impaknya terhadap keterlihatan dan kualiti penyelidikan negara.
Pelaksanaan dasar ini dijangka mampu memperluas akses kepada hasil penyelidikan tempatan, meningkatkan visibiliti dan impak penyelidikan IPT di peringkat nasional dan global, menyokong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan, serta memperkukuh budaya penyelidikan terbuka yang bertanggungjawab dan beretika.
Dokumen dasar ini boleh dimuat turun sebagai rujukan rasmi oleh seluruh warga IPT bagi memastikan pelaksanaan yang menyeluruh, selaras dan berkesan di semua peringkat. Dasar Akses Terbuka Tesis dan Disertasi Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (2025) ini sekali gus mencipta sejarah sebagai inisiatif pertama Universiti Awam dalam usaha perkongsian ilmu yang akan memberi manfaat kepada pelbagai pihak.
"The Malaysian Higher Education Open Access Policy for Theses and Dissertations (2025) was introduced to strengthen research accessibility and knowledge sharing across higher education institutions. Serving as an official guideline for universities, the policy provides a framework for managing open access to theses and dissertations while addressing intellectual property, access classifications, and the responsibilities of key stakeholders. By promoting responsible and ethical sharing of research, the policy aims to improve the visibility and impact of Malaysian research, encourage collaboration, and support the development of an open and sustainable research ecosystem. It also marks a significant milestone as the first initiative of its kind among Malaysian public universities."