Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya memperoleh akreditasi daripada AACSB International (Association to Advance Collegiate Schools of Business) pada 14 Februari 2025.
Pengiktirafan berprestij ini menempatkan AAGBS dalam kelompok elit institusi pendidikan perniagaan dunia yang memenuhi standard kecemerlangan tertinggi dalam aspek pengajaran, penyelidikan, pembangunan kurikulum serta pembelajaran pelajar. Ditubuhkan pada tahun 1916, AACSB merupakan badan akreditasi pendidikan perniagaan antarabangsa yang paling lama berkhidmat dan paling berpengaruh di dunia.
Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan AAGBS dan UiTM dalam memperkukuhkan kualiti pendidikan, memperkasa penyelidikan berimpak tinggi serta melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Akreditasi AACSB turut mengesahkan bahawa AAGBS telah melalui proses penilaian yang ketat dan komprehensif oleh komuniti pendidikan perniagaan antarabangsa, sekali gus membuktikan keupayaan institusi dalam menyediakan pendidikan perniagaan bertaraf dunia.
Dengan pengiktirafan ini, AAGBS kini menjadi sebahagian daripada rangkaian global institusi yang diiktiraf AACSB, sekali gus memperkukuhkan reputasi UiTM di persada antarabangsa serta membuka lebih banyak peluang kolaborasi akademik, penyelidikan dan pembangunan bakat di peringkat global.