Dato Sri Mohd Najib Tun Hj. Abdul Razak, Menteri Pendidikan Malaysia menyampaikan Sijil ISO 9002 kepada YBhg. Tan Sri Datuk Wira Abdul Rahman Arshad, Pengerusi Lembaga Pengarah ITM.
Institut Teknologi MARA (ITM) merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam pertama di Malaysia yang menerima sijil ISO sekaligus mendapat pengiktirafan antarabangsa dari segi kualiti. Kelulusan bagi mendapatkan sijil ISO telah dibuat pada 22 April 1997 oleh SIRIM QAS Sdn. Bhd. Majlis penganugerahan Sijil tersebut telah disampaikan oleh YB. Dato Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Menteri Pendidikan Malaysia pada 10 Jun 1997 di Kampus Daerah Tawau, Sabah.
Penganugerahan sijil ISO 9002 tersebut adalah bagi Bahagian Peperiksaan di bawah Pejabat Pendaftar. Proses yang disahkan di bawah skop sijil tersebut ialah pengurusan dan penyediaan kertas peperiksaan bermula dengan hebahan, penerimaan, percetakan, prosesan dan pengedaran.
Menurut Rektor ITM, Dato' Ir. Dr. Hj. Ahmad Zaidee Laidin, keputusan memilih Bahagian Peperiksaan bagi mendapatkan ISO adalah keputusan yang strategik kerana ia adalah proses genting dan kemuncak dalam pengalaman pembelajaran menyeluruh seseorang pelajar. Lantaran itu. jika yang kemuncak itu telah diiktiraf di peringkat antarabangsa, proses lain yang di bawahnya tentulah menyumbang secara automatis kepada kualiti keseluruhan. Beliau juga sangat menghargai iltizam staf Bahagian Peperiksaan yang gigih berusaha sehingga berjaya mendapatkan persijilan ISO dalam masa yang dijadualkan.
Perancangan untuk mendapatkan persijilan ini telah bermula semenjak tahun 1996 yang diusahakan oleh pihak CTQE (Centre for Total Quality Education) ITM. Piawaian seperti ini mempunyai pengertian yang besar bagi ITM memandangkan ia akan sekaligus memperakukan sistem yang digunapakai oleh ITM adalah menepati tahap yang diterima di seluruh dunia.
Sumber :
Berita ITM Jun/Julai 1997, hal. 4
Laporan Tahunan ITM 1996
Laporan Tahunan ITM 1997
"Institut Teknologi MARA (ITM) made history in 1997 as the first public higher education institution in Malaysia to receive the ISO 9002 certification, demonstrating its commitment to quality management and internationally recognized standards. Awarded by SIRIM QAS Sdn. Bhd., the certification recognized the Examination Division under the Registrar’s Office for its systematic management of examination processes, including the preparation, processing, and distribution of examination papers. The achievement resulted from initiatives led by the Centre for Total Quality Education (CTQE) beginning in 1996 and reflected the dedication of the Examination Division staff in meeting global quality requirements. This milestone strengthened ITM’s reputation for excellence and confirmed that its academic and administrative systems met internationally accepted quality standards."