Bidang keusahawanan bukanlah sesuatu yang baharu diperkenalkan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), malah ia telah menjadi tradisi yang berakar kukuh sejak awal penubuhan universiti ini. Sejak dahulu lagi, UiTM komited memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan warga kampus, selari dengan misinya untuk memperkasa dan meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat bumiputera di Malaysia.
Melalui perancangan pelan strategik universiti yang tersusun, seluruh warga UiTM berganding bahu menjayakan pelbagai program pembudayaan keusahawanan dengan penuh dedikasi dan kesungguhan. Hasilnya, UiTM sekali lagi mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai penerima sulung Anugerah Entrepreneurial University of the Year 2012 dalam MOHE University Entrepreneurial Award 2012, menewaskan 15 universiti lain. Majlis penganugerahan tersebut telah berlangsung pada 5 Disember 2012 di Grand Hyatt Kuala Lumpur. Anugerah tersebut diterima oleh Tan Sri Dato' Sri Profesor Ir. Dr. Sahol Hamid bin Abu Bakar, Naib Canselor UiTM.
Kejayaan ini membuktikan keupayaan UiTM memperkasakan institusinya dalam bidang keusahawanan, transformasi dan inovasi di peringkat kebangsaan, sekali gus meletakkan universiti ini antara yang terbaik di Malaysia. Pengiktirafan tersebut memberi impak besar bukan sahaja dari segi reputasi institusi, malah meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam industri serta membuka ruang kepada peruntukan tambahan khusus kepada Malaysian Academy of SME and Entrepreneurship Development (MASMED) bagi memperluas pelaksanaan dua teras utama iaitu pembentukan usahawan dan pembudayaan keusahawanan.
Demi merealisasikan hasrat tersebut, UiTM telah merangka dan melaksanakan pelbagai kursus dan latihan di bawah MASMED seperti Latihan Pewujudan Usahawan, Skim Latihan dan Galakan Perniagaan, Skim Usahawan Siswazah, Latihan Asas Perniagaan, Kursus Asas Keusahawanan Siswa serta program Tunas Mekar.
Pengiktirafan ini juga merupakan satu penghormatan daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) kepada UiTM sebagai pelopor pendidikan keusahawanan negara, yang jejaknya bermula sejak penubuhan Dewan Latehan RIDA pada tahun 1956 dan seterusnya Pusat Pembangunan Keusahawanan Malaysia (MEDEC) pada tahun 1975.
Jelas bahawa UiTM bukan sekadar institusi pengajian tinggi biasa, sebaliknya sebuah universiti yang terus unggul sebagai peneraju dan perintis dalam memperkasa keusahawanan demi masa depan generasi dan pembangunan negara.
Sumber : Buletin Salam@UiTM Edisi Khas Konvokesyen Bil.1/2013
"Entrepreneurship is a core focus of UiTM, aimed at empowering the Bumiputera community through education and innovation. The university nurtures entrepreneurial skills through training, courses, and industry programs. UiTM was named Entrepreneurial University of the Year in 2012, recognizing its excellence in entrepreneurship education. Key initiatives include business training, graduate entrepreneur schemes, and the Tunas Mekar programme. Its entrepreneurial roots trace back to Dewan Latehan RIDA (1956) and later developments in 1975.Today, UiTM continues to produce innovative graduates and support Malaysia’s economic growth."