Kejayaan pasukan Gemalai Qarma Dansa turut diperkukuhkan apabila berjaya merangkul Anugerah Koreografi Terbaik, sekali gus membuktikan keunggulan kreativiti, disiplin dan komitmen warga seni UiTM dalam menghasilkan persembahan yang berkualiti tinggi serta berteraskan warisan budaya bangsa. Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan UiTM dalam melahirkan bakat seni yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan. Dalam pertandingan tersebut, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah muncul sebagai pemenang tempat kedua, manakala Universiti Malaya (UM) meraih tempat ketiga. Sementara itu, Anugerah Khas Juri telah dimenangi oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Bagi kategori khas yang lain, Anugerah Tatarias Terbaik dimenangi oleh Universiti Malaya (UM), manakala Anugerah Busana Terbaik menjadi milik Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah festival telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang turut menzahirkan sokongan terhadap usaha berterusan institusi pengajian tinggi dalam memelihara, memartabatkan dan memperkasa seni budaya warisan negara.Pusat Kebudayaan UiTM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh pasukan serta semua pihak yang terlibat atas dedikasi, komitmen dan usaha berterusan dalam mengharumkan nama universiti di pentas seni budaya peringkat kebangsaan. Kejayaan ini menjadi bukti komitmen UiTM dalam memperkasakan pembangunan mahasiswa secara holistik melalui penglibatan aktif dalam bidang seni, budaya dan warisan negara, sekali gus memperkukuhkan peranan universiti sebagai institusi yang sentiasa mendukung pemeliharaan serta kelestarian warisan budaya bangsa.