UiTM Selangor Tuan Rumah Pelancaran Jelajah Belia Rukun Negara 2026
Senarai rekod

Rekod Arkib

UiTM Selangor Tuan Rumah Pelancaran Jelajah Belia Rukun Negara 2026

UiTM Cawangan Selangor menerusi Sekretariat Rukun Negara (SRN) telah menjadi tuan rumah Majlis Pelancaran Program Jelajah Belia Rukun Negara (JBRN) 2026, sebuah inisiatif nasional yang memperkukuh perpaduan, patriotisme dan jati diri belia melalui penghayatan prinsip Rukun Negara, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam melahirkan generasi muda yang berintegriti, berdaya saing dan cintakan negara.

Gambar ditampal

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor menerusi Sekretariat Rukun Negara (SRN) telah diberi penghormatan menjadi tuan rumah bagi Majlis Pelancaran Program Jelajah Belia Rukun Negara (JBRN) 2026 yang berlangsung di Dewan Seri Alam, Hotel UiTM Kampus Puncak Alam, hari ini. Majlis pelancaran berskala nasional ini telah disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat Datuk Aaron Ago Dagang. Kehadiran beliau telah disambut oleh Timbalan Rektor Bahagian Hubungan Industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanan (iCARE) UiTM Cawangan Selangor, Profesor Dr. Mohd Hafiz Hanafiah, yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar bagi mewakili Naib Canselor UiTM. Kehadiran para tetamu kehormat ini menyerlahkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkukuh agenda perpaduan nasional melalui penglibatan aktif golongan belia dan mahasiswa.

Turut hadir memeriahkan program ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBhg. Dato’ Haslina Binti Abdul Hamid, barisan kepimpinan Kementerian Perpaduan Negara, wakil-wakil daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), pegawai-pegawai kanan universiti, serta lebih 200 mahasiswa daripada institusi pengajian tinggi sekitar Selangor. Kehadiran peserta daripada pelbagai latar belakang mencerminkan semangat kebersamaan dan kesediaan generasi muda untuk memainkan peranan sebagai pemangkin kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara. Program JBRN 2026 yang bakal dilaksanakan di 15 lokasi di seluruh negara merupakan satu inisiatif signifikan dalam memperkukuh semangat perpaduan, patriotisme dan jati diri dalam kalangan generasi muda. Program ini dirangka bagi meningkatkan literasi dan kefahaman terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara, di samping menggalakkan penghayatan nilai-nilai murni yang terkandung di dalamnya sebagai panduan dalam kehidupan seharian. Usaha ini dilihat amat relevan dalam mendepani cabaran semasa yang semakin kompleks, termasuk pengaruh globalisasi, perkembangan teknologi digital serta penggunaan media sosial yang memerlukan generasi muda memiliki asas nilai yang kukuh dan pemikiran yang matang.

Gambar ditampal

 Sebanyak empat kampus UiTM, iaitu UiTM Cawangan Selangor, Perlis, Kedah dan Kelantan telah dipilih sebagai lokasi penganjuran program berbentuk dua hari satu malam ini. Pemilihan kampus-kampus tersebut membuktikan keyakinan pihak penganjur terhadap keupayaan UiTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang mampu menjadi platform terbaik dalam menjayakan program pembangunan belia dan pengukuhan perpaduan nasional. Pelaksanaan inisiatif ini dijangka menjadi medium yang berkesan dalam membentuk generasi belia yang berdaya saing, bertanggungjawab, berintegriti serta mempunyai semangat cintakan negara yang tinggi. Sepanjang pelaksanaan program, para peserta akan didedahkan kepada pelbagai aktiviti berbentuk pengisian kenegaraan, pembangunan kepimpinan, kesukarelawanan dan interaksi sosial yang bertujuan memupuk semangat kerjasama serta persefahaman antara kaum. Melalui pendekatan yang interaktif dan inklusif, program ini diharap dapat melahirkan belia yang lebih peka terhadap kepentingan perpaduan dan mampu menjadi ejen perubahan positif dalam komuniti masing-masing.

Penganjuran program ini turut mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki sahsiah terpuji, integriti yang tinggi, semangat patriotisme yang utuh serta kesedaran terhadap tanggungjawab sebagai warganegara. Selaras dengan aspirasi universiti, UiTM sentiasa menyokong usaha-usaha yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan pengukuhan identiti nasional dalam kalangan generasi muda. Pihak pengurusan UiTM Cawangan Selangor turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Perpaduan Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta JPNIN Negeri Selangor atas kepercayaan yang diberikan kepada UiTM untuk menjadi tuan rumah majlis pelancaran ini. Penghargaan turut dizahirkan kepada seluruh jawatankuasa Sekretariat Rukun Negara (SRN) UiTM Cawangan Selangor, para sukarelawan serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini demi merealisasikan agenda perpaduan nasional dan memperkasakan peranan belia sebagai aset penting pembangunan negara.

Gambar ditampal

UiTM Selangor, through its Rukun Negara Secretariat (SRN), hosted the national launch of the Youth Rukun Negara Tour Programme (Jelajah Belia Rukun Negara 2026) at Dewan Seri Alam, Hotel UiTM Puncak Alam. The event was officiated by the Minister of National Unity, Datuk Aaron Ago Dagang, and attended by senior ministry officials, university leaders, and over 200 students from various institutions in Selangor.The programme aims to strengthen unity, patriotism, and understanding of the Rukun Negara among Malaysian youth through interactive activities such as leadership development, community engagement, and nation-building sessions. It will be implemented across 15 locations nationwide, including several UiTM campuses, highlighting UiTM’s role as a key platform for youth development and national integration.

This initiative reflects ongoing collaboration between UiTM, the Ministry of National Unity, and related agencies to cultivate responsible, patriotic, and socially aware young leaders. UiTM reaffirmed its commitment to producing holistic graduates who excel academically while upholding strong values, integrity, and national identity.