Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (MEDEC) - Malaysian Academy of SME and Entrepreneurship Development (MASMED)
Senarai rekod

Rekod Arkib

Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (MEDEC) - Malaysian Academy of SME and Entrepreneurship Development (MASMED)

Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia atau MEDEC (Malaysian Entrepreneurship Development Center) telah memulakan satu kursus khas untuk melatih kaum Bumiputra dalam bidang keusahawanan dan telah dilancarkan oleh YB. Datuk Lokman Musa, Pengarah ITM d...

Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (MEDEC) - Malaysian Academy of SME and Entrepreneurship Development (MASMED)

Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia atau MEDEC (Malaysian Entrepreneurship Development Center) telah memulakan satu kursus khas untuk melatih kaum Bumiputra dalam bidang keusahawanan dan telah dilancarkan oleh YB. Datuk Lokman Musa, Pengarah ITM di Jalan Othman pada 7 Januari 1977. Dengan kerjasama pegawai-pegawai dari Urban Development Authority (UDA), Pusat Daya Pengeluaran (NPC) dan wakil-wakil dari sektor swasta, pusat ini (MEDEC) telah mengelolakan satu kursus intensif secara sambilan selama tiga bulan dipanggil Rancangan Pembangunan Usahawan (Entrepreneurial Development Programme (EDP)) dan seramai 27 orang peserta telah dipilih dari 90 orang pemohon.

Rancangan diperingkat pengenalan ini telah mendapat bantuan dari badan-badan berkanun, pihak swasta, institusi-institusi kewangan serta dari orang perseorangan yang cuba menitikberatkan sifat-sifat keusahawanan, perubahan & cara pemikiran dan daya usaha keusahawanan (Entrepreneurial Initiatives). EDP menawar pelbagai rancangan kursus mengikut kesesuaian pemohon seperti :-

  • EDP untuk bakal usahawan selama 3 bulan separuh masa.
  • EDP untuk bakal usahawan selama 2 bulan sepenuh masa.
  • EDP hujung minggu selama 2 bulan untuk penuntut ITM
  • EDP 1 bulan untuk bakal usahawan di kampus cawangan ITM iaitu di Sabah, Sarawak, Perlis dan Terengganu.

Hubungan kerjasama juga turut diwujudkan antara MEDEC dengan agensi-agensi lain untuk mendapatkan maklumat dari pengalaman pelatih serta percambahan buah fikiran lebih-lebih lagi dalam pembangunan, konsep pembentukan usahawan dan input dalam melatih peserta EDP. Antara agensi yang terlibat adalah :-

  • MARA
  • National Entrepreneurial Development Association (NERDA)
  • National Productivity Corporation (NPC)
  • Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan

Penubuhan Malaysian Academy of SME and Entrepreneurship Development (MASMED) pada 2010 merupakan langkah strategik dalam menyatukan usaha tiga pusat utama di Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang komited memupuk dan memperkasa budaya keusahawanan, iaitu Malaysian Entrepreneurship Development Centre (MEDEC), Projek Tunas Mekar dan Entrepreneurship Research and Support Centre (ERSC). Penggabungan ini memperkukuh peranan universiti dalam melahirkan usahawan berdaya saing serta membangunkan ekosistem perniagaan yang mampan dalam kalangan pelajar dan komuniti.

Langkah awal pendidikan keusahawanan di UiTM bermula seawal tahun 1975 dengan penubuhan MEDEC, ketika bidang keusahawanan masih belum berkembang luas di institusi pendidikan dunia. Sebagai pusat pertama seumpamanya di negara ini, MEDEC ditubuhkan khusus untuk merancang dan melaksanakan pendidikan, latihan serta penyelidikan keusahawanan. Sepanjang penubuhannya, MEDEC berusaha gigih membangunkan kurikulum keusahawanan yang komprehensif bagi menyemai budaya berniaga dalam kalangan pelajar dan masyarakat. Malah, sebagai antara pemacu utama pembangunan perusahaan di universiti, MEDEC turut menyediakan khidmat nasihat dan perundingan perniagaan kepada usahawan baharu dan sedia ada.

Memasuki dekad berikutnya, jaringan kerjasama pintar diperluas melalui pelancaran Projek Tunas Mekar pada tahun 2005. Inisiatif ini telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi, dengan matlamat meningkatkan prestasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta membentuk kesedaran dan kemahiran keusahawanan dalam kalangan graduan. Melalui program perantisan selama dua tahun, graduan ditempatkan bersama usahawan PKS bagi memperoleh pengalaman langsung mengurus perniagaan. Dalam masa yang sama, pemilik perniagaan berpeluang mempelajari teknik pengurusan moden, mewujudkan situasi menang-menang antara industri dan graduan.

Aktiviti penyelidikan dan perundingan keusahawanan terus diperkukuh pada era 2000-an dengan penubuhan ERSC pada tahun 2009. Pusat ini memberi tumpuan kepada penyelidikan dalam bidang keusahawanan yang bersifat khusus, termasuk menilai amalan terbaik dan berkongsi dapatan melalui seminar, persidangan serta penerbitan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. ERSC juga berperanan mempromosikan dasar mesra usahawan serta menterjemahkan teori kepada amalan melalui latihan dan khidmat nasihat strategik kepada usahawan baharu dan berpengalaman.

Seiring dengan perkembangan dan kepelbagaian program yang ditawarkan, skop serta impak ketiga-tiga pusat ini semakin meluas dalam menyokong penciptaan dan kejayaan perniagaan dalam kalangan pelajar. Hari ini, usaha tersebut digembleng secara menyeluruh melalui penubuhan MASMED sebagai pusat kecemerlangan yang dinamik dan kukuh, dalam mempertingkatkan tahap inovasi serta keusahawanan bukan sahaja di UiTM, malah dalam komuniti yang lebih luas. Penubuhan ini mencerminkan visi pengasas universiti serta pelan tindakan awal yang telah dirangka sejak hari-hari terawal penubuhan UiTM.

Berikut kronologi penubuhan MEDEC hingga terkini :

1975
Penubuhan Pusat Pembangunan Keusahawanan Malaysia (MEDEC) menandakan titik tolak penting dalam landskap pendidikan keusahawanan negara. MEDEC kemudiannya muncul sebagai antara pusat latihan keusahawanan terkemuka di Malaysia. Melalui kerjasama strategik bersama University of Kentucky, dua program pascasiswazah diperkenalkan iaitu MSc dalam Ekonomi dan Diploma Lanjutan (Pengurusan Perniagaan Kecil), memperkukuh asas akademik keusahawanan bertaraf antarabangsa.

1977
Program Pembangunan Keusahawanan untuk orang awam dilancarkan dan berlangsung selama lebih dua dekad (1977–2001), memperluas akses pendidikan keusahawanan kepada masyarakat. Pada tahun yang sama, MEDEC dilantik oleh International Labour Organization (ILO) untuk melatih pengurus PKS meningkatkan keuntungan melalui amalan persekitaran kerja yang selamat dan produktif.

1980
KEMUSA diperkenalkan sebagai platform memupuk budaya perniagaan dalam kalangan pelajar melalui pengalaman sebenar seperti perniagaan pasar malam dan jualan langsung. Tahun ini juga menyaksikan perbincangan meja bulat bersama Kementerian Pertahanan Malaysia bagi memulakan Kursus Peralihan Pengusahawanan untuk pesara tentera.

1982–1983
KEMUSA diiktiraf sebagai subjek kokurikulum dan diperluas ke kampus cawangan. Seterusnya, Skim Latihan & Galakan Pengusahawanan (SLGP) diperkenalkan bagi membantu pegawai kerajaan Gred B, C dan D yang bakal bersara menceburi bidang perniagaan.

1987–1988
Program Keusahawanan Graduan (GEP) diperkenalkan dengan tajaan Jabatan Perdana Menteri Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia, berasaskan kertas kerja Profesor Alan Gibb dari UK. Tahun berikutnya menyaksikan pelancaran kursus wajib Asas Keusahawanan (ETR 300) kepada pelajar Diploma tahun akhir.

Pada masa yang sama, MEDEC dilantik oleh Sekretariat Komanwel untuk membangunkan Program Pembangunan Kemahiran Keusahawanan bertaraf antarabangsa.

1990–1991
Kursus Keusahawanan Intensif (KKI) dan penubuhan Kelab Usahawan mengukuhkan budaya keusahawanan kampus. MEDEC turut bekerjasama dengan United Nations Industrial Development Organization (UNIDO) dalam melatih jurulatih bagi industri kecil.

1996–1999
Program Usahawan Berjaya Utama (UBU) dilancarkan bersama Irish Management Institute, memperluas jaringan antarabangsa. UiTM kemudiannya dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia untuk melaksanakan Skim Usahawan Siswazah (SUS) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI).

Latihan Pewujudan Usahawan (LPU) pula diperkenalkan khusus untuk pegawai kerajaan Gred A yang bakal bersara.

2001–2003
MEDEC terus mengorak langkah global apabila dilantik oleh Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) untuk melaksanakan Program Latihan & Pensijilan Kaunselor Perniagaan Kecil.

Tahun 2002 menyaksikan pelancaran SIFE UiTM yang menggerakkan pelajar membangunkan projek keusahawanan komuniti. Pada 2003, Kursus Asas Keusahawanan Intensif (KAKS) diperkenalkan kepada pelajar UiTM dan politeknik di bawah Kementerian Pendidikan.

2004–2006
Program DBA dalam Keusahawanan dimulakan, memperkukuh laluan akademik tertinggi dalam bidang ini. Projek Tunas Mekar pula dilancarkan hasil cetusan idea bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kursus Teknokeusahawanan (ENT 600) diperkenalkan kepada pelajar Kluster Sains & Teknologi, termasuk projek perundingan bersama UNIKL serta program Sijil Intrapreneurship bersama Johor Corporation.

2007–2008
Penubuhan ERSC (Pusat Penyelidikan dan Sokongan Keusahawanan) memberi fokus kepada penyelidikan, dasar dan perundingan. Sijil Lanjutan Intrapreneurship diperkenalkan kepada CEO anak syarikat Johor Corporation, manakala Kelab Keusahawanan UiTM dihidupkan semula.

2010
Penubuhan MASMED menyatukan MEDEC, Tunas Mekar dan ERSC di bawah satu payung strategik. Penstrukturan semula ini melahirkan dua pusat utama:
• Pusat Modal Insan & Tunas Mekar Keusahawanan
• Pusat Pengajian, Latihan dan Penyelidikan Keusahawanan

Langkah ini mengukuhkan ekosistem pembangunan usahawan secara menyeluruh dan bersepadu.

2011
Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA) dalam Keusahawanan diperkenalkan, menandakan kematangan akademik dan komitmen berterusan UiTM dalam melahirkan generasi usahawan masa hadapan.

Rujukan :

  1. Peristiwa-peristiwa penting Institut Teknologi MARA (1956 - 1980)
  2. Laporan Khas Entrepreneurship Development Center (MEDEC) 1975 – 1978
  3. Mesyuarat Majlis – Jawatankuasa Hal Ehwal Akademik (KK.JK.HEA 2/79)
  4. Pioneering Entrepreneurship Education  - MASMED
  5. Prospektus dan Laporan Aktiviti MEDEC 1997