
Institut Teknologi MARA (ITM) merancang penubuhan sebuah hotel latihan sebagai platform pembelajaran bersepadu yang menawarkan kemudahan latihan menggunakan teknologi dan peralatan terkini kepada masyarakat dalam dan luar negara. Penubuhan hotel ini membolehkan pelajar ITM menjalani latihan secara in-house, sekali gus mendekatkan mereka kepada situasi sebenar pengurusan operasi harian hotel industri. Melalui pendekatan ini, pelajar dapat mengimbangi pembelajaran teori dan amali dengan lebih berkesan. Kursus yang ditawarkan ketika itu ialah Pengajian Pengurusan Hotel dan Pelancongan, dan bagi memenuhi keperluan tersebut, tertubuhlah Hotel Sri Alam yang diuruskan oleh Kajian Pengurusan Hotel dan Pelancongan.
Hotel Sri Alam mula ditubuhkan pada tahun 1973 di bawah pengurusan Encik Gulam Abd. Kadir selaku Pengurus Hotel yang pertama. Pada peringkat awal, hotel ini beroperasi dengan hanya 30 orang kakitangan dan dilengkapi 12 buah bilik yang terdiri daripada lapan bilik Standard dan empat bilik Suite, dengan kadar harga antara RM40 hingga RM50 semalam. Majoriti pelanggan pada waktu itu terdiri daripada staf kursus MEDEC. Kemudahan lain yang disediakan termasuk Dewan Sri Impian yang mampu menampung 200 hingga 300 orang, Coal Mine Coffee House dengan kapasiti 60 orang, dapur pastri serta tiga dapur latihan asas masakan. Harga bufet yang ditawarkan ketika itu adalah sekitar RM3 hingga RM5.
Operasi Hotel ITM secara rasmi bermula pada Mei 1992. Pada peringkat awal, pengendalian hotel adalah berdasarkan permintaan, tertumpu kepada penganjuran jamuan rasmi ITM seperti Jamuan Kebudayaan dan Pesta Golf antara universiti. Bermula Ogos 1992, hotel mula beroperasi secara soft opening apabila Coffee House dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang, Meranti Grill mula beroperasi bagi memenuhi keperluan akademik pelajar, dan kaunter Front Office beroperasi 24 jam. Pada masa yang sama, hotel turut menerima tempahan jamuan daripada pihak awam serta menganjurkan acara mingguan seperti High Tea dan Fashion Show. Waktu operasi Coffee House dan Meranti Grill kemudiannya dilanjutkan hingga ke waktu malam bermula 2 Disember 1992.
Sekitar tahun 1992 hingga 1998, hotel berpindah daripada bangunan lama ke bangunan baharu dan nama Hotel Sri Alam telah ditukar kepada Hotel ITM. Pada ketika itu, hotel ini berada di bawah pengurusan Prof. Dr. Muhamad Muda. Hotel ITM dilengkapi dengan 40 buah bilik yang dibuka secara berperingkat, sebuah restoran, Dewan Bankuet Sri Impian serta dua bilik seminar. Matlamat utama hotel pada fasa ini adalah sebagai hotel latihan bagi pelajar Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan. Operasi kakitangan berjalan dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang dengan seorang pegawai bertugas selepas waktu tersebut. Jumlah kakitangan ketika itu adalah seramai 20 orang, manakala pelanggan utama terdiri daripada kakitangan ITM dari seluruh cawangan. Harga bilik yang ditawarkan adalah RM85 semalam.
Hotel ITM terletak di kaki bukit Kampus ITM Shah Alam, Seksyen 1, dan berstatus hotel bertaraf tiga bintang. Kedudukannya yang sedikit tersisih daripada kesibukan bandar Shah Alam, pusat perniagaan dan kawasan perindustrian menjadikan hotel ini pilihan masyarakat setempat serta komuniti perniagaan yang menginginkan suasana penginapan yang tenang dan selesa. Hotel ini dilengkapi beberapa buah suite dan 36 bilik standard, dengan prestasi penginapan yang memberangsangkan apabila mencatat kadar penghunian 75 peratus pada tahun 1993 dan meningkat kepada 85 peratus pada tahun 1994.
Seiring dengan pelaksanaan kempen pelancongan nasional seperti Visit Malaysia Year dan Malaysia Fest, pembangunan industri pelancongan telah menjadi agenda utama negara. Peningkatan jumlah pelawat tempatan dan antarabangsa telah mewujudkan keperluan mendesak terhadap penyediaan bilik hotel. Sehubungan itu, bermula tahun 1993, Hotel ITM mula beroperasi secara komersial dengan sasaran pelanggan luar. Anggerik Terrace Coffee House beroperasi sehingga jam 10.00 malam, dan hotel turut menerima tempahan majlis serta seminar daripada ITM, keadaan yang berterusan sehingga tahun 1998.
Pada tahun 1999, ITM telah diisytiharkan sebagai universiti oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sekali gus menukar nama Institut Teknologi MARA kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM). Selari dengan perubahan tersebut, Hotel ITM turut dikenali sebagai Hotel UiTM sehingga kini. Pada tahun yang sama, Encik Azlan Supardi telah dilantik sebagai Pengurus Hotel UiTM dan pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan, termasuk pengiktirafan Hotel 3 Bintang oleh Kementerian Pelancongan Malaysia, pengubahsuaian bilik, lobi dan restoran serta penambahan outlet makanan dan minuman.

Kemuncak kepada usaha pembangunan ini adalah perasmian Hotel UiTM pada 10 November 2000 oleh DYMM Tengku Idris Shah Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Pemangku Raja Selangor yang sekali gus mengukuhkan peranan hotel ini sebagai institusi latihan profesional dan aset penting universiti.

Namun, kejayaan merealisasikan visi ini bukan sahaja bergantung kepada prasarana fizikal, malah turut menuntut penyediaan sumber manusia yang terlatih dan berkemahiran tinggi bagi menyokong industri hospitaliti. Institut Teknologi MARA merupakan antara institusi pengajian tinggi terawal di negara ini yang menawarkan latihan dan pendidikan dalam bidang hospitaliti serta kerjaya dalam industri hospitaliti sehingga kini. Ikuti sejarah panjang legasi ini di pautan Kajian Pengurusan Hotel Dan Penyediaan Makanan.
Hotel UiTM pada 19 April 2026